WelCoMe tO My BlOg

Light Blue Pointer

Thursday 17 January 2013

PANDUAN IBADAH KORBAN DAN AQIQAH




Apakah erti Korban?
            Korban ialah binatang ternakan (an’am) tertentu yang disembelih pada hari Adha da hari-hari Tasyriq semata-mata kerana mendampingkan diri dengan Allah S.W.T.
Apakah erti Aqiqah?
            Aqiqah ialah binatang ternakan (an’am) tertentu yang disembelih ketika hendak mencukur rambut bayi yang baru lahir sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T..

Keterangan:
I.    Hari Adha ialah 10 Zulhijrah atau Hari Raya Korban manakala hari-hari Tasyriq ialah hari 11, 12, dan 13 Zulhijrah.
II.   Binatang ternakan (an’am) tertentu yang dimaksudkan ialah unta, lembu, kerbau,kambing, biri-biri dan kibas.
III.  Aqiqah asalnya bererti rambut di kepala bayi ketika ia dilahirkan dan ibadah aqiqah adalah amalan sunat mencukur rambut kepala bayi seminggu atau lebih selepas dia dilahirkan.
Hukum Melaksanakan Korban dan Aqiqah
            Kedua-dua adalah sunat muakkad (sunat yang sangat digalakkan bagi sesiapa yang berkemampuan). Aqiqah dituntut ke atas orang yang wajib menanggung nafkah bayi iaitu bapa atau ibunya. Sekiranya kedua-duanya tidak berkemampuan maka datuknya sunat melakukan aqiqah bayi tiu jika berkemampuan.
          
     Dalil syara’ mengenai korban ialah:
I.  Firman Allah :
“Sesungguhnya Kami telah memberi kepada ngkau (Hai Muhammad) kebaikan yang banyak, oleh itu kerjakanlah solat (Hari Raya Korban) kerana Tuhan-Mu dan sembelihan korban”
 (Surah al-Kauthar: 1-2)

II.  Sabda Rasulullah S.A.W. :
a. “Barang siapa yang ada kemampuan tetapi tidak melakukan korban maka jangan dia menghampiri solat kami” 
(Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah)

b. “Kanak-kanak tergadai dengan aqiqah yang disembelih untuknya pada hari ketujuh,dicukur rambut dan diberikan namanya.”
(Riwayat at-Tarmizi)

c. “Rasulullah S.A.W. menyuruh kami mengaqiqahkan untuk anak lelaki dengan menyembelih dua ekor kambing dan anak perempuan dengan menyembelih seekor kambing.”
(Riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah)


Hikmah-hikmah Ibadah Korban Aqiqah

Antara  hikmah ibadah korban dan aqiqah ialah:
I. Untuk memperingati sejarah dan sunnah nabi Allah  Ibrahim yang telah diperintah oleh Allah S.W.T supaya mengorbankan puteranya Nabi Ismail.
II. Untuk berbakti dengan menghulurkan pertolongan kepada fakir miskin pada Hari Raya Haji supaya mereka dapat bersama-sama menikmati makanan yang suci pada hari yang berkat.
III. Untuk membangkitkan kesedaran setiap orang supaya sentiasa sanggup membelanjakan harta benda atau berkorban sesuatu kerana meninggikan syiar Islam.
IV. Untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat orang Islam yang berkemampuan dengan orang Islam yang tidak berada.
V.  Untuk membersihkan diri daripada perasaan tamak dan kecintaan kepada harta dunia.
VI. Untuk melahirkan kesyukuran dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. kerana dikurniakan anak dan nikmat rezeki.
VII. Untuk menzahirkan rasa kasih saying ibu bapakepada anak di bawah jagaannya.
VIII. Untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah pada Hari Akhirat nanti.

Syarat-Syarat Binatang Korban dan Aqiqah

I. Cukup umur.
Bagi biri-biri cukup umurnya ialah setahun,
Bagi kambing, lembu dan kerbau cukup umurnya ialah 2 tahun,
Bagi unta cukup umurnya ialah 5 tahun.
II. Sihat atau tidak berpenyakit.
III. Tidak ada kecacatan yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya seperti terpotong telinga atau ekornya, patah kaki atau buta matanya.

Cara-Cara Melakukan Korban dan Aqiqah
            Setelah diperolehi binatang korban atau aqiqah yang mencukupi syarat-syarat seperti disebutkan di atas, maka bolehlah dilakukan sembelihan mengikut cara-cara seperti yang diterangkan:
I. Hendaklah dipastikan masuk waktunya bagi ibadah Korban, iaitu lepas solat Aidil Adha (Hari Raya Korban) hingga tenggelam matahari pada hari Tasyrik ketiga (Hari ke-13 Zulhijrah).
Bagi aqiqah ia boleh dilakukan pada sebarang hari dan pada bila-bila masa selepas kelahiran bayi berkenaan selagi dia belum mencapai umur baligh. Afdal melakukan sembelihan aqiqah setelah terbit matahari.
II. Ketika menyembelihnya hendaklah diniatkan untuk korban atau aqiqah bagi bayi yang diaqiqahkan. Bagi sembelihan unta,lembu atau kerbau boleh dikongsi untuk tujuh bahagian. Sewaktu menyembelih, hendaklah diniatkan bagi ketujuh-tujuh orang yang dikongsi.
III. Bagi korban atau aqiqah sunat, daging sembelihan korban atau aqiqah itu diagihkan kepada fakir miskin sekurang-kurangnya 1/3 daripadanya. Bakinya 1/3 boleh dimakan oleh orang yang berkorban atau beraqiqah manakala 1/3 lagi boleh dihadiahkan kepada orang berada. Adapun bagi daging korban atau aqiqah nazar kesemuanya diagihkan kepada fakir miskin.
IV. Hendaklah dipastikan daging korban atau aqiqah itu tidak diberi atau dimakan oleh orang bukan Islam dan tidak dijual mana-mana bahagian daging, anggota atau kulit sembelihan itu.
V. Bagi sembelihan aqiqah elok tulangnya tidak dipatah-patahkan dan sunat dipotong tulang-tulang itu pada bahagian sendi-sendinya sahaja.
VI. Bagi sembelihan aqiqah sunat, dagingnya disunatkan dimasak dan kemudian diberi  makan kepada fakir miskin.
Bagi aqiqah wajib (aqiqah nazar) pula maka hendaklah daging itu disedekahkan kepada fakir miskin tanpa dimasak.
VII. Adapun bagi daging korban sunat atau wajib hendaklah ia diberikan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah dan segar.

Sumber: Dari sisipan Majalah Anak Sayang sumbangan THE BEST FARMS