Demam
Demam terjadi kerana kenaikan takat suhu tetap di dalam badan yang
ditunjukkan dengan kenaikan suhu badan melebihi daripada suhu biasa. Ianya
ditentukan melalui pengukuran suhu badan pada tapak ukuran yang disyorkan.
Pengesahan kenaikan suhu badan ini boleh ditentukan dengan mengunakan
jangkasuhu. Ketika demam, suhu yang diukur pada bahagian mulut akan menunjukkan
bacaan melebihi 37.8ºC (100ºF) dan suhu dubur pula melebihi 38.3ºC (101ºF) atau
37ºC (98.6ºF) apabila disukat di celah ketiak.
Demam boleh terjadi tanpa sebarang sebab, seperti selepas bersenam
atau pun terjadi akibat perubahan fisiologi badan seperti di dalam kes
jangkitan kuman. Kuman yang menjangkiti badan dikenali sebagai pirogen. Istilah
ini sebenarnya yang berasal dari perkataan Greek (pyro=api;gen=penyebab)
bermaksud sebarang bahan yang menyebabkan kenaikan suhu apabila memasuki badan.
Bahan-bahan lain yang diketahui boleh menyebabkan kenaikan suhu
termasuklah ubat-ubatan, penyakit seperti kanser dan serangan penyakit jantung,
dadah dan racun. Perlu diterangkan juga bahawa kenaikan suhu badan boleh juga
terjadi di dalam keadaan kejutan panas akibat suhu persekitaran yang tinggi. Di
dalam keadaan kejutan panas, aktiviti kehilangan haba dari badan akan berlaku
melalui perpeluhan dan pengembangan salur darah menjadi perlahan.
Semasa kejutan ini terjadi, kehilangan peluh yang banyak
sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan kerana mangsa kejutan akan mengalami
kekurangan bendalir dalam badan atau dehidrasi. Suhu badan semasa kejutan
terjadi boleh melebihi 24ºCelcius, pada takat suhu ini kulit mangsa akan
menjadi kering, koma dan mungkin kematian. Sekiranya rawatan tidak diberikan
secara agresif dan pantas, kemungkinan pesakit maut adalah tinggi sehingga
boleh mencapai 80 peratus daripada semua kes kejadian kejutan panas.
Bagaimana Demam Terjadi?
Haba badan manusia terhasil akibat daripada proses penjanaan
tenaga yang diperlukan untuk aktiviti badan seperti pergerakan otot. Semasa
sihat, penjana utama datang dari hati manakala ketika bersenam pula otot
menjadi pengeluar haba utama. Proses penjanaan haba ini dipengaruhi oleh hormon
badan dan otak. Di dalam keadaan normal, suhu badan ditentukan oleh proses
penjanaan dan juga proses kehilangan haba.
Bagi membolehkan kehilangan haba badan yang cepat, proses yang
biasanya di lakukan oleh badan sendiri ialah berpeluh di samping pengembangan
saluran darah pada kulit agar haba badan yang disalurkan dapat di hilangkan
melalui kulit.
Suhu badan biasanya ditetapkan pada julat suhu yang
tertentu iaitu 36.5º hingga 37.5ºC melalui pusat kawalan suhu yang terletak pada otak. Bagi
memboleh kan badan menetapkan suhu badan dengan persekitaran saraf sensitif
suhu yang terdapat pada kulit akan menghantar maklumat ke otak secara
berterusan.
Jika suhu persekitaran jatuh, maka maklumat yang disampaikan ke
otak akan menyebabkan gerak balas badan, termasuklah perubahan tingkahlaku bagi
mengimbangi kejatuhan tersebut. Dalam hal ini, gerak balas yang boleh
diperhatikan adalah seperti bulu roma menegak atau menggeselkan tangan bagi
meningkatkan suhu kulit.
Di dalam keadaan tidak normal, perubaan di dalam mekanisma
pengawalaturan suhu badan ditunjukkan melalui dua keadaan iaitu demam dan
kepanasan.
Demam dapat dikesan melalui kenaikan takat suhu tetap
badan. Kepanasan pula ditunjukkan dengan pusat kawal atur pada otak yang tidak
berubah walaupun kadar kehilangan haba dari badan semakin rendah yang
mengakibatkan kenaikan suhu badan. Oleh itu,
peningkatan suhu badan boleh disebabkan oleh tiga proses iaitu kenaikan suhu
yang ditetapkan pada pusat kawalan yang terdapat di otak, peningkatan di dalam
penjanaan haba pada otak dan pengurangan di dalam kehilangan haba badan.
Pengukuran Suhu Badan
Pengukuran Suhu Badan
Bagi memastikan sama ada anda betul-betul demam atau tidak,
boleh dipastikan dengan menyukat suhu badan. Alat jangka suhu akan digunakan sama ada jangka suhu raksa
di dalam kaca atau jangka suhu elektronik seringkali digunakan sekarang kerana
bacaan suhu boleh diperolehi dengan cepat di samping tiada kemungkinan alat
tersebut pecah dan boleh mencederakan pengguna seperti di dalam penggunaan
jangka suhu kaca.
Tetapi jangkasuhu kaca juga mempunyai kelebihan kerana harganya
murah serta mudah alih untuk dibawa kemerata-rata tempat. Selain itu ada juga
jenis jangkasuhu filem yang diletakkan diatas kulit bagi memberikan bacaan suhu
badan pengguna. Kebaikan jangkasuhu jenis ini ialah operasi pengendalian kasar
ke atas jangkasuhu tidak akan mempengaruhi bacaan yang diperolehi.
Sekiranya pengguna mempunyai jangkasuhu yang disimpan bagi
kegunaan pegukuran suhu badan, beberapa tapak badan boleh digunakan untuk
mendapatkan suhu ini. Diantara tapak sukatan yang seringkali digunakan ialah mulut,
celah ketiak, dubur dan telinga. Daripada
kajian yang dilakukan, kedua-dua tapak ketiak dan dubur didapati memberikan
suhu badan yang tepat berbanding dengan mulut. Ini kerana, suhu yang diperolehi
dari mulut boleh dipengaruhi oleh pernafasan udara melalui mulut.
Bagi telinga pula, sukatan suhu badan boleh dilakukan dengan
menggunakan jangkasuhu khas yang memancarkan sinar infra merah ke dalam telinga
dan hasil daripada pantulan sinar kepada jangkasuhu akan digunakan untuk
mengira suhu badan.
Rawatan Demam
Sekiranya demam telah dipastikan, maka langkah rawatan
sendiri boleh dilakukan oleh pesakit. Mungkin demam yang anda alami boleh
dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubat tertentu sahaja. Sebaliknya jika
penggunaan berulang ubat itu untuk beberapa hari tidak juga menyembuhkan demam,
maka pesakit disarankan berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca demam agar langkah selanjutnya
dapat diambil.
Sekiranya perhatian tidak diberikan kepada pesakit terutama
pesakit kanak-kanak di antara usia enam bulan hingga enam tahun, masalah demam
boleh menyebabkan berlakunya sawan demam. Sawan jenis ini boleh terjadi hanya
semasa demam dan ia tiada kaitan langsung dengan kecacatan otak. Ia boleh
berpanjangan selama 10 hingga 15 minit.
Sekiranya sawan
terjadi, letakkan tuala basah di atas kepala si pesakit dan bawa pesakit
berjumpa dengan doktor. Langkah lain yang
boleh dilakukan semasa pesakit mengalami demam adalah memastikan pesakit
mengambil cecair yang mengcukupi, memakai pakaian yang tidak tebal dan suhu bilik yang
tidak terlalu panas.
Sekiranya pesakit hendak diberikan ubat bagi melegakan demam,
beberapa persoalan perlu diambilkira didalam pengubatan sendiri:
- Berapa lamakah mengalami demam?
- Berapakah suhu badan? Bagaimana suhu badan disukat?
- Adakah tanda-tanda lain selain daripada demam?
- Sudahkah rawatan lain digunakan untuk merawat demam tersebut?
- Adakah anda sedang menjalani rawatan atau mengambil ubat tertentu?
- Adakah anda menghadapi masalah alergi atau kesan buruk ubat-ubat tertentu?
Untuk penggunaan ubat bagi melegakan demam, pilihan ubat boleh
digunakan oleh pesakit dewasa ialah parasetamol
dan ibuprofen kerapkali digunakan untuk
melegakan demam. Kedua-dua ubat ini bertindak mengurangkan takat tetap suhu
badan. Selain itu, aspirin turut mempunyai kelebihan untuk menghilangkan kesakitan
semasa demam. Dos ubat yang diambil oleh pesakit ialah 660 hingga 1000 miligram
pada setiap empat hingga enam jam sehingga dos maksimum iaitu lima dos sehari.
Ibuprofen pula disyorkan pada kadar 200 hingga 400 miligram setiap empat hingga
enam jam sehingga dos maksimum iaitu sebanyak 1200 miligram sehari.
Bagi kanak-kanak pula, hanya disyorkan untuk merawat demam dan dos
ubat yang lebih kecil diberikan berbanding dos dewasa. Pilihan dos ubat
mestilah disesuai kan dengan umur pesakit dan kebiasaannya pesakit kanak-kanak
diberikan ubat cecair bagi memudahkan pengambilan ubat. Dos yang disyorkan
untuk kanak-kanak yang berusia di antara dua hingga 11 tahun ialah 10 hingga 15
miligram bagi setiap kilogram berat badan kanak-kanak pada setiap empat hingga
enam jam. Manakala dos maksimum seharian pula sebanyak 65 miligram/kilogram.
Dos ini hanya dibenarkan untuk selama lima hari sahaja. Semasa ubat diambil,
sebarang perubahan negatif perlu diberi perhatian.
Jika kenaikan suhu badan disebabkan oleh masalah kelenjar seperti
kerosakan kelenjar pituitari di otak, maka pengambilan ubat demam tidak dapat
menyelesaikan masalah kenaikan suhu badan. Di dalam keadaan ini, masalah
penyakit yang menyebabkan kenaikan suhu badan perlu dirawat terlebih dahulu
untuk menghilangkan demam.
Masalah demam sebenarnya boleh diatasi dengan mengambil
beberapa langkah rawatan sendiri. Diantara rawatan ini termasuklah penggunaan langkah kehilangan haba yang cepat dari badan
dengan meletakkan tuala basah di atas badan untuk menghilangkan haba di
permukaan ataupun menggunakan ubat untuk melegakan demam. Sekiranya ubat diambil pastikan ia digunakan mengikut
arahan yang tertera di atas label bekas ubat. Semasa penyimpanan juga, pastikan
kanak- kanak tidak boleh mencapai ubat ini serta diletakkan di tempat yang
dingin dan kering.