WelCoMe tO My BlOg

Light Blue Pointer

Thursday, 17 January 2013

CARA MENGULANG KAJI PELAJARAN


Kemahiran dalam mengulang kaji pelajaran adalah penting dan wajib bagi setiap pelajar. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tahu bagaimana hendak mengulang kaji pelajaran.
Di bawah ini ada 7 petua untuk memperbaiki tabiat ulang kaji anda:
  1. 1)    Kualiti, bukan kuantiti
Ada pelajar yang memperuntukkan lima jam sehari untuk mengulang kaji, tetapi hasilnya hanya tiga puluh minit. Sedangkan ada yang hanya memperuntukkan tiga jam,dan hasilnya menyamai masa yang diperuntukkan. Bagaimana dengan anda? Kenal pasti sejauh mana “produktiviti” anda dalam mengulang kaji pelajaran. Bukan soal berapa banyak masa, tetapi berapa banyak yang  “dihasilkan”.
  1. 2)    Buat senarai tugasan untuk setiap ulang kaji
Dale Carnagie pernah berkata, “Jika anda gagal untuk merancang, maka anda merancang untuk gagal”. Apakah yang ingin anda lakukan kali ini? Membuat peta minda untuk Bab Dua? Membuat sebanyak 30 soalan latih tubi? Meneliti semua isi-isi penting dan memperkemaskan ingatan anda? Dengan itu, tumpuan dan aktiviti anda semasa sesi ulang kaji akan menjadi lebih terarah dan terfokus.
  1. 3)    Jika banyak yang anda tidak tahu, bersyukurlah  
Pernahkah anda alami seperti ini: anda mengulang kaji pelajaran, dan anda dapati banyak perkara yang anda tidak tahu. Banyak konsep yang tidak berapa faham, dan banyak istilah yang tidak pernah didengari. Jika ia berlaku pada anda, jangan bersedih, kecewa, atau bimbang. Sebaliknya anda harus bersyukur. Syukur kerana anda menyedari semua itu semasa ulang kaji, bukan di dalam peperiksaan. Bukankah salah satu matlamat ulang kaji adalah mengenal pasti kelemahan anda dalam pelajran? Inilah masa untuk memperbaikinya.
  1. 4)    Bukan “mengulang baca” tetapi “mengulang kaji”
Kebanyakan pelajar mengisi masa mengulang kaji mereka dengan membaca, membaca, dan membaca. Aktiviti ini tidak bertahan lama, akhirnya pelajar mungkin akan kebosanan dan hilang tumpuan. Akhir sekali, cuma sedikit yang difahami. Buatlah sesuatu yang lebih “aktif” dan “cergas”. Banyak aktiviti lain yang boleh anda lakukan untuk “mengkaji” sesuatu topik itu. Tepuk dada, tanyalah selera.
  1. 5)    Berlatih menjawab soalan-soalan peperiksaan
Peperiksaan menguji sejauh mana anda memahami dan mampu menyampaikan idea dalam sesuatu topik mata pelajaran. Manjawab soalan adalah satu kemahiran yang perlu dilatih selalu. Semakin banyak anda berlatih menjawab soalan, semakin “mudah” anda menghadapi peperiksaan nanti. Bak kata pepatah,”Alah bias, tegak biasa”.
  1. 6)    Buat kerangka jawapan  
Tidak perlu untuk menjawab soalan dalam bentuk yang sempurna seperti dalam peperiksaan sebenar. Yang anda hendak pastikan ialah otak anda tahu struktur idea dalam sesuatu topik tersebut. Anda boleh buat dalam bentuk peta minda, isi-isi kandungan, jadual, rajah, graf, dan sebagainya. Dengan ini, lebih banyak soalan yang boleh anda jawab.
  1. 7)    Buat kesimpulan dan rumusan  
Buat rumusan dan kesimpulan untuk setiap subjek yang anda ulang kaji. Tidak kira sama ada anda membuat nota, membaca nota, menjawab soalan, dan sebagainya, yang pasti buatlah satu rumusan yang menutup ‘tirai’ ulang kaji anda. Ia umpama satu “laporan kerja” untuk anda. Anda boleh juga membuat graf garis bagi menbandingkan prestasi anda dari semasa ke semasa.dengan membuat rumusan sebegini, anda tahu peningkatan, kekuatan, dan kelemahan anda. Kemudian, rancanglah untuk memperbaiki lagi kelemahan anda.
Sekian, SELAMAT MENJADI PELAJAR YANG CEMERLANG di dunia dan akhirat.   
  ©Info RAZAS

Sumber dari: Majalah Dewan Siswa