Puisi Tradisional -Tingkatan 5
~ Syair Pemberontakan Patani ~
Sumber: Bahagian
Pembangunan Kurikulum (KPM)
Maksud
Rangkap 1:
Laksamana telah dititahkan oleh betara ke
negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah
daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman.
Rangkap 2:
Mereka yang dikenakan hukuman harus
menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai
yang berkenaan.
Rangkap 3:
Setelah mendengar titah betara, laksamana
tidak lagi risau kerana negeri yang ditinggalkannya akan tetap terpelihara
daripada huru-hara.
Rangkap 4:
Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota
Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah lama gering dan laksamana tidak
sanggup meninggalkan baginda.
Rangkap 5:
Walaupun dengan berat hati, laksamana
tetap menjunjung perintah betara.
Rangkap 6:
Laksamana tidak dapat berkata apa-apa
kerana dia terpaksa menurut perintah dan laksamana menyerahkan segala-galanya
pada Allah.
Rangkap 7:
Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan
nama baginda demi keamanan negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.
Rangkap 8:
Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap
tidak melupakan bonda yang gering meskipun dalam hati kecilnya kemungkinan
tidak dapat bertemu dengan bondanya.
Rangkap 9:
Sudah tersurat bahawa masalah yang
dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit
seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.
Rangkap 10:
Maka laksamana melaksanakan titah seri
betara dengan segera bagi mendapat panji-panji/perintah Raja Senggora.
Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang
tanggungjawab seorang laksamana melaksanakan perintah raja.
Persoalan
1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
3. Persoalan kepentingan negara menjadi
keutamaan bagi setiap rakyat.
4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab
kita.
Bentuk
1. Rima akhir aaaa
2. Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara tiga hingga
lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara sembilan hingga
tiga belas suku kata setiap baris.
Gaya Bahasa
1. Diksi (Bahasa Melayu Klasik)
Contoh: masyghul, dura, pegari, peri dan
sebagainya.
2. Asonansi
Contoh: Laksamana dititahkan betara
(pengulangan vokal ’a’)
3. Aliterasi
Contoh: Barang yang hendak dihukumkan
(pengulangan konsonan ’n’)
4. Kata ganda
Contoh: Huru-hara, terkata-kata,
bersegera-segera.
Nilai
1. Nilai kesetiaan
Contoh: Setia kepada pemerintah dan negara
2. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah
betara.
3. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan
bondanya yang sakit demi negara.
Pengajaran
1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang
diberikan.
2. Kita haruslah akur dengan arahan
pemimpin demi kepentingan negara.
3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan
negara daripada kepentingan diri.
4. Kita hendaklah setia kepada raja dan
negara.
5. Kita janganlah bersedih dengan
keputusan yang diambil sekiranya mendatangkan kebaikan kepada orang lain.