WelCoMe tO My BlOg

Light Blue Pointer

Sunday, 14 April 2013

Kata dalam Bahasa Malaysia (2)


PENGGOLANGAN MENGIKUT MAKSUD

1. Dari segi maksud, kata boleh dipecahkan kepada:
a. Kata Nama
b. Kata Kerja
c. Kata Sifat
d. Kata Tugas

2. Kata nama. Kata yang menjadi inti frasa nama dalam ayat. Digunakan untuk merujuk orang, benda dan tempat yang bersifat konkrit atau abstrak. Dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:

a. Kata nama khas. Kata nama yang merujuk khusus orang, tempat atau benda. Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal perkataan. Contoh: Hadi, Sang Kancil, Proton Saga dan Malaysia.

b. Kata nama umum. Merujuk konsep atau benda yang umum. Dipecahkan kepada dua, iaitu yang abstrak dan konkrit. Contoh kata nama umum abstrak: suara, kecewa, keselesaan, kemenangan dan kehendak. Contoh kata nama umum yang konkrit: tangan, batu, motosikal dan air.

c. Kata ganti nama. Bentuk kata yang tugasnya menjadi pengganti kepada kata nama. Terbahagi kepada dua iaitu ganti nama penunjuk dan ganti nama diri. Contoh ganti nama penunjuk: itu,ini dan nun. Ganti nama diri terbahagi kepada dua, iaitu ganti nama diri tanya (siapa, apa dan mana) dan ganti nama diri manusia. Ganti nama diri manusia dapat dipecahkan lagi kepada ganti nama diri pertama (aku, saya, hamba)  kedua (awak, engkau)  dan  ketiga (ia, beliau, mereka, Ali).


3. Kata kerja. Kata yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Terbina daripada kata dasar ataupun kata terbitan. Dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.
a. Kata kerja transitif. Kata kerja yang menerima penyambut selepasnya. Penyambut ini dinamakan objek. Tanpa objek, kata kerja itu tidak akan sempurna dan binaan ayat akan menjadi salah. Dalam ayat – Polis menembak perompak itu, kata kerja  menembak harus diikuti objek, perompak itu untuk melengkapkan ayat itu dan menjadikannya gramatis.
b. Kata kerja tak transitif. Kata kerja yang titidak memerlukan penyambut atau objek kata nama untuk melengkapkannya. Tidak semua kata kerja berawalan meN- merupakan kata kerja transitif. Ada juga kata kerja berawalan meN- yang tidak memerlukan objek selepasnya seperti menyelam, melancong, menjerit dan menggunting. Kata-kata kerja seumpama  itu dinamakan kata kerja tak transitif (tidak berpelengkap).


4. Kata sifat atau kata adjektif. Kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif. Kata ini boleh berfungsi sebagai penerang kata nama. Kata sifat dapat dibahagikan kepada: 
a. Kata sifat keadaan. Kata sifat yang menjelaskan keadaan kata nama. Contoh: pandai, cantik, hodoh, sakit, lemah, gopoh, berani, takut dan tamak. Kata sifat yang mungkin sesuai untuk benda ialah seperti keras, kejap, jitu, kemas, kesat, bersih, kotor, buruk dan rendang.
b.Kata sifat warna. Kata sifat yang menjelaskan sesuatu warna kepada kata nama. Contoh: hitam, biru, hijau, cerah, gelap, perang, kuning, oren dan sebagainya.
c. Kata sifat ukuran. Kata sifat yang menerangkan ukuran sesuatu kata nama. Contoh; panjang, pendek, tinggi, rendah, tebal, nipis, dalam, kecil, besar dan  sebagainya.
d.  Kata sifat bentuk. Kata sifat yang menjelaskan bentuk sesuatu kata nama. Contoh:  bulat, leper, tiga segi, bundar dan sebagainya.
e. Kata sifat waktu. Kata sifat yang menjelaskan masa atau waktu sesuatu kejadian kata nama. Contoh:  lama, lewat, baru, spontan, segera, kemudian, cepat dan sebagainya.
f. Kata sifat jarak. Kata sifat yang menjelaskan konsep ruang amtara dua benda atau keadaan kata nama. Contoh: jauh, dekat, hampir, nyaris, rapat dan sebagainya.
g. Kata sifat cara. Kata sifat yang menjelaskan kelakuan atau ragam kata nama. Contoh: cepat, gopoh, selalu, jarang, kadang-kadang, kerap, pernah, lincah dan sebagainya.
h. Kata sifat perasaan. Kata sifat yang menjelaskan sesuatu perasaan yang dihadapi oleh kata nama. Contoh: sayang, rindu, benci, senang, hendak, kasih, ragu, gembira, suka, duka, nestapa dan sebagainya.
i. Kata sifat pancaindera. Kata sifat yang membawa pengertian konsep rasa, pandang, dengar, bau, sentuh atau gabungan kelima-lima pancaindera tersebut. Contoh:  sedap, enak, masin, manis, cantik, jelita, hodoh, tampan, gagah, segak, ayu, nyaring, merdu, sayup, mersik, kuat, garau, serak, busuk, hancing, semerbak, hanyir, kesat, licin, keras, lembut, halus dan sebagainya.

5. Kata sifat terbentuk melalui beberapa cara. Antaranya ialah seperti berikut:
a. Kata sifat dasar. Terdiri daripada hanya satu perkataan dasar seperti yang sudah dinyatakan di atas. Tidak mempunyai imbuhan atau mengalami proses penggandaan. Kata sifat ini bertugas sebagai penerang kata nama dan sama ada menerima atau tidak kata bantu atau penguat.
 b. Kata sifat terbitan. Terhasil apabila kata sifat dasar diberi imbuhan, sama ada imbuhan awalan ter dan se ( terbaik, tercantik, terbaik, sebaik, seindah dan seburuk), sisipan el, em, er, in ( kelemumur, selekeh, gemuruh, gemilang, semerbak, semantan, gerigi, sinambung)  dan apitan ke-an ( kebudakankearabankemelayuan ).
c. Penggandaan kata sifat. Kata sifat dasar digandakan sama ada penuh ( cantik-cantik, mahal-mahal, merah-merah, cepat-cepat )  atau separa ( kemalu-maluan, kegilaan-gilaan, kehijau-hijauan ) dan  berentak ( hiruk-pikuk, lintang-pukang, sunyi-sepi ).
d. Kata sifat majmuk. Terhasil daripada proses merangkaian dua kata sifat dasar atau lebih yang membawa maksud tertentu. Contohnya: muda remaja, tua bangka, kuning langsat, biru laut, senyum simpul,panas terik dan cantik manis.


6. Kata tugas.  Kata yang hadir dalam ayat, klausa atau frasa untuk mendukung fungsi tertentu. Fungsi-fungsi kata tugas dapat dibahagikan kepada:
 a. Penyambung ayat. Berfungsi menghubungkan dua ayat atau lebih sehingga menjadi ayat majmuk. Ayat majmuk gabungan dihubungkan dengan kata-kata hubung gabungan ( dan, lalu, serta, tetapi, kemudian, sambil, lantas, malahan)   sementara ayat majmuk pancangan dihubungkan dengan kata hubung pancangan ( yang, bahawa, untuk ). Kata hubung keterangan musabab ( sebab, kerana, sehingga ),  keterangan syarat ( sekiranya, jika, andai ) , keterangan waktu ( sejak, setelah, sementara, sesudah, tatkala, apabila, ketika) ,  keterangan pertentangan  ( sungguhpun, meskipun, walaupun), keterangan harapan ( agar, semoga, supaya)  dan keterangan cara ( dengan) juga digunakan.

b. Praklausa. Sejumlah kata yang hadir di hadapan klausa. Antara tugasnya ialah untuk menimblkan nada seruan aduh, ah, cis, amboi, wah, aduhai, wahai, syabas, oh, eh),  pertanyaan ( mengapa, berapa, apa, bila, di mana, bagaimana),  kata perintah ( jangan, usah, sila, tolong, minta ) , kata pembenar ( ya, benar, betul)  dan   kata pangkal ayat ( hatta, kalakian, syahadan, sebermula, arakian).

c. Prafrasa.  Sejumlah kata yang hadir di hadapan frasa, sama ada frasa nama, frasa kerja atau frasa sifat. Kata-kata ini bertugas untuk menguatkan, menegaskan, menghitung, menafikan dan sebagainya. Antaranya ialah
kata bantu aspek ( telah, belum, sedang, tengah, pernah, masih, akan ),
kata bantu ragam ( mahu, mesti, harus, dapat, perlu, wajib), 
kata penguat ( sangat, terlalu, paling, sungguh, agak)
kata penegas ( -kah, -tah, -lah, jua, juga, sahaja lagi, hanya, memang)
kata nafi ( tidak, bukan),
kata pemeri ( ialah, adalah ) , 
kata sendi nama (dari, daripada, ke, di, kepada, untuk, bagi) ,
kata arah ( antara, di bawah, di atas, sisi, penjuru, selatan) ,
kata bilangan ( dua, dua puluh, segala, seluruh, para, sekalian, berguni-guni, beratus-ratus, setengah, separuh, masing-masing).  

Sumber dari buku STPM BAHASA MELAYU