WelCoMe tO My BlOg

Light Blue Pointer

Sunday 14 April 2013

Kata dalam Bahsa Malaysia


 1. Perkataan ialah:
a. Unit tatabahasa yang bebas dan paling kecil dalam sususnan tatabahasa.
b. Tidak boleh dibahagi-bahagikan atau dipisahkan kepada bentuk yang lebih kecil daripadanya.
c. Dinamakan juga morfem bebas kerana setiap kata membawa maksud.

2. Imbuhan seperti “meN-”, “-lah”, “-an” dan “-nya” tidak dianggap perkataan kerana tidak boleh berdiri sendiri untuk melahirkan makna. Ia bergantung kepada kata dasar untuk berfungsi dan memberi makna. Bentuk ini dinamakan morfem terikat kerana bergantung kepada kata dasar untuk membawa makna.

3. Perkataan digolongkan mengikut maksud dan binaannya.
a. Binaan. Dibahagikan kepada 4, iaitu kata dasar, kata terbitan, kata majmuk dan kata gandaan.
b. Maksud. Dibahagikan kepada 4, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif / kata sifat dan kata sendi.

Penggolongan Mengikut Binaan

4. Kata dasar. Dikenali sebagai kata tunggal. Semua kata dalam bahasa Melayu bermula daripada kata dasar ini. Bilangan suku katanya tidak selaras. Ada yang satu suku kata (rak, ras, rob); dua suku kata (mati, lapang, rindu); tiga suku kata (bahaya, gelosa, Lausana); empat suku kata ( anugerah, selesema, kelemumur); dan lima suku kata (cendekiawam, akuarium, kosmopolitan).

5. Kata dasar juga boleh terhasil daripada perkataan akronim, iaitu daripada percantuman bunyi-bunyi pertama dalam sejumlah perkataan atau percantuman bahagian untuk membentuk satu perkataan baru. Contoh: jentolak ( jentera tolak), kugiran (kumpulan gitar rancak), purata (pukul rata), tadika (taman didikan kanak-kanak).

6. Kata terbitan. Terhasil daripada proses imbuhan, iaitu proses menambahkan atau menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Setiap kata terbitan asalnya kata dasar atau morfem bebas.

7. Kata terbitan dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu:
a. Awalan. Imbuhan hadir sebelum kata dasar. Imbuhan awalan boleh dibahagikan kepada awalan kata nama, awalan kata kerja dan awalan kata sifat.
i.  Contoh awalan kata nama: jururawat, kelasi, mahasiswa, pemalas, pemburu, pendidik, pengatur, pengebom, prauniversiti, subbidang dan tatanegara.
ii. Contoh awalan kata kerja: bekerja, belajar, bernafas, diatur, dipersoal, merosak, membalas, mentadbir, menghapus,mengesyor, mempertingkat dan tertarik.
iii. Contoh awalan kata sifat: setinggi, terencat dan tercantik.

b. Akhiran. Imbuhan yang hadir selepas kata dasar. Akhiran wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan.
i.  Contoh akhiran kata nama: ustazah, pakaian, muslimat, hadirin, nasionalisme, seniman,usahawan dan peragawati.
ii. Contoh akhiran kata kerja: buatkan, naikkan, jauhi dan miliki.

c. Apitan. Imbuhan yang mengapit kata dasar, iaitu di kedua-dua belah kata dasar. Terdapat 3 jenis apitan, iaitu apitan kata nama, apitan kata kerja dan apitan kata sifat.
i.   Contoh apitan kata nama: kematian, kerinduan, pelayaran, perasaan, pelajaran, pemprosesan, pentadbiran, penjualan, pengajaran, pengeboman dan perjudian.
ii.  Contoh apitan kata kerja: berpadanan, berdasarkan, dikhianati, dielakkan, diperlihatkan, diperingati, kekecewaan, melewati, merosakkan, mempesonakan, mendendangkan, mengghairahkan, mengeposkan, membintangi dan mempersembahkan.
iii. Contoh apitan kata sifat: kemelayuan, kecinaan, kejawaan dan keinggerisan.

d. Sisipan. Imbuhan dicelah-celah kata dasar. Bentuk kata terbitan sisipan ini tidak banyak jumlahnya dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Terdapat 2 jenis sisipan, iaitu sisipan kata nama dan sisipan kata sifat.
i.  Contoh sisipan kata nama: telunjuk, kelengkeng, seruling dan serabut.
ii. Contoh sisipan kata sifat: gelembung, selerak, gerigi, serabut, semerbak, gemerlap dan sinambung.

8. Kata majmuk. Kata yang terbina daripada sekurang-kurangnya dua rangkaian kata dasar yang membawa makna berbeza dengan kata dasarnya. Contoh: tanggung dan jawab digabungkan menjadi tanggungjawa. Kata majmuk dieja secara terpisah dan bertindak sebagai satu unit.

9. Kata majmuk dibahagikan kepada 3, iaitu:
a. Kata majmuk berupa rangkai kata bebas. Contoh:  luar biasa, balai raya, rupa paras, ambil alih, merah muda, ramah mesra dan merah jambu. Nama jawatan termasuk dalam jenis ini seperti perdana menteri, wakil rakyat, ketua setiausaha dan ketua rumah.
b. Kata majmuk berupa istilah khusus. Ditemui dalam budang akedemik, terutama istilah dalam sesuatu bidang. Contoh: mata pelajaran, kertas kerja, alat pandang dengar, buku teks, promosi jualan dan komunikasi massa.
c. Kata majmuk berupa simpulan bahasa. Contoh: tangan panjang, kaki botol, senyum kambing, pilih kasih dan mata air.

10. Terdapat kata majmuk yang telah ditetapkan supaya ditulis satu perkataan. Antaranya ialah: antarabangsa, apabila, apahal, apakala, bagaimana, barangkali, beritahu, bumuputera, darihal, daripada, dukacita, kakitangan, jawatankuasa, kepada, kerjasama, manakala, manalagi, olahraga,   sediakala, pesuruhjaya, setiausaha, sukacita, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab dan  warganegara.

11. Dalam penulisan gandaan kata majmuk, elemen yang digandakan hanyalah kata dasar yang pertama. Contoh: perdana-perdana menteri bukannya perdana menteri-menteri. Contoh lain: alat-alat tulis, buku-buku teks, gambar-gambar rajah, wakil-wakil rakyat dan kapal-kapal terbang.

12. Kekecualiannya kepada penggandaan kata majmuk simpulan bahasa dan bentuk kata majmuk yang mantap. Ia ditulis dengan kesemua unsur kata majmuk itu. Contoh: ibu ayam-ibu ayam, bukan ibu-ibu ayam. Contoh lain: kaki botol-kaki botol, setiausaha-setiausaha, duit kopi-duit kopi, dan suruhanjaya-suruhanjaya.

13. Kata gandaan.  Terbentuk apabila kata dasar digandakan. Terdapat tiga jenis gandaan, iaitu gandaan penuh, gandaan tidak penuh dan gandaan berentak.

a. Penggandaan penuh. Kata dasar digandakan sepenuhnya, sama ada menggunakan imbuhan atau tidak. Gandaan dibuat untuk memberi maksud jamak atau menegaskan kata sifat. Contoh: kotak-kotak, buku-buku, rakan-rakan, perlawanan-perlawanan, pelatih-pelatih dan keburukan-keburukan.

b. Pengunaan tidak penuh. Penggandaan sebahagian kata dasar sahaja. Dibuat pada kata dasar atau kata terbitan. Biasanya melibatkan pengulangan suku kata pertama. Letak gandaannya ialah pada hadapan kata dasar. Vokal dalam bentuk gandaannya mengalami proses perubahan menjadikannya kepada vokal e. 
Contoh: lelangit, jejari, rerambut dan rerama.
Bagi gandaan kata dasar berimbuhan, hanya kata dasar digandakan. Contoh: berturut-turut, terikut-ikut, mencari-cari, kasih-mengasihi, rindu-merindui, bantu-membantu dan tolong-menolong.

c. Penggandaan berentak. Penggandaan kata dasar mengikut rentak bunyi. Seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi diubah dan diulang. Terdapat 3 jenis penggandaan berentak ini iaitu:   
i.   Pengulangan vokal. Contoh: lauk-pauk, hina-dina, saudara-mara, sayur-mayur dan selok-belok.
ii.  Pengulangan konsonan. Contoh: kayu-kayan, batu-batan, tanah-tanih, bukit-bakau dan mundar-mandir.
iii. Pengulangan bebas. Contoh: lemah-longlai, sahabat-handai, tinggi-lampai dan susur-galur.

Sumber dari buku STPM BAHASA MELAYU